suria

Rumah Diceroboh, Ahli Perniagaan Nyaris Maut Ditembak

Anggota forensik menjalankan siasatan di kediaman seorang ahli perniagaan kosmetik selepas nyaris maut ditembak selepas diceroboh dua lelaki dalam kejadian di Jalan 5/38 Taman Kinrara, Puchong, Jumaat. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan nyaris maut ditembak selepas rumahnya diceroboh dua lelaki dipercayai warga asing dalam kejadian di Taman Kinrara, Puchong di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abdul Razak Elias berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, Beh Chee Kong, 38, cedera di lengan kanan akibat terkena satu das tembakan.

Beliau kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

"Ketika kejadian, mangsa dan keluarganya sedang tidur selepas pulang lewat meraikan hari lahir anak lelakinya.

"Mangsa dan isterinya tersedar selepas dua lelaki asing di rumah teres itu menjerit 'rompak, rompak' sebelum seorang suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa," katanya kepada Bernama Jumaat.

Abdul Razak berkata mangsa mengejar suspek yang melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Chevrolet berwarna putih yang diletakkan di hadapan rumah.

Suspek dipercayai masuk ke rumah itu dengan membuka mangga pagar jeriji dan pintu gelangsar rumah berkenaan. Tiada barang yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut memandangkan mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana bilik yang gelap ketika itu dan tiada rakaman kamera litar tertutup di rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata siasatan juga menjurus kepada motif kejadian sama ada ia berunsurkan rompakan atau cubaan membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain