suria

Dua Lelaki Bebas Tuduhan Bunuh Seorang Remaja

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat melepaskan dan membebaskan dua lelaki tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan membunuh seorang remaja di Taman Lima Kongsi, Sungai Bakap pada Februari 2011.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Kedua-dua tertuduh Mohd Fazli Abdul Rahman, 33, dan Muhamad Hafis Md Yusoff, 28, menangis mendengar keputusan itu dan mendapatkan keluarga masing-masing sebaik keluar mahkamah.

"Setelah mendengar dan meneliti 13 saksi pendakwaan, mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Dengan itu mahkamah memerintahkan mereka dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh membunuh Yuganthan Uthayakumar, 23, pada Feb 25 2011, kira-kira 1 pagi di Taman Lima Kongsi, Sungai Bakap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar.

Semasa ditemui di luar mahkamah, peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh, R. Dev Chander dan V. Parthipan berkata keputusan itu amat bermakna bagi Mohd Fazli dan Muhammad Hafis yang meringkuk di penjara selama setahun kerana boleh menyambut Hari Raya bersama keluarga. - BERNAMA

Artikel Lain