suria

Suspek Kes Khianat & Letupan Ditahan

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes letupan dan kebakaran di Bayan Lepas, dekat sini Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berumur 31 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas.

"Polis merampas lapan 'fire work shell' iaitu sejenis mercun dalam pelbagai diameter dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam dua kejadian itu.

"Dengan tangkapan dan rampasan ini, polis berjaya menyelesaikan dua kes yang berlaku awal pagi semalam dalam tempoh kurang 24 jam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Lokap Berpusat Bayan Baru di Balai Polis Bayan Baru, dekat sini Selasa.

Pada pukul 4.30 pagi Isnin, polis menerima laporan kebakaran di Pusat Komuniti Policing Jalan Sungai Ara 1, Bayan Lepas dekat sini dan mendapati terdapat unsur khianat berikutan penemuan tong plastik berisi minyak tanah dipercayai sebagai pencetus kebakaran.

Pada pukul 8.50 pagi pula, polis menerima laporan kejadian letupan di sebuah banglo di Jalan Changkat Sungai Ara 1, Bayan Lepas yang menyebabkan dua kenderaan rosak.

Abdul Rahim berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamin dan lelaki terbabit juga mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah curi dan dadah.

Mengenai lokap berpusat itu, Abdul Rahim berkata lokap yang boleh menampung 459 orang itu akan menempatkan tahanan reman.

"Kalau suspek belum mendapat reman kami akan tempatkan mereka di Ibu Pejabat Polis atau di balai di mana tangkapan dibuat. Bila dapat reman dan reman itu menyatakan ditahan di lokap berpusat kita akan masukkan mereka di sini," katanya.

Beliau berkata lokap berpusat yang pertama di negeri ini dilengkapi 63 sel, 186 kamera litar tertutup (CCTV), pejabat dan bilik soal siasat serta beberapa kemudahan lain. - BERNAMA

Artikel Lain