suria

Polis Johor Tahan Lelaki Dikehendaki Polis Singapura Berhubung Kes Bunuh

JOHOR BARU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis Singapura kerana dipercayai terlibat dalam kes bunuh di republik itu beberapa tahun lepas berjaya ditahan polis Johor di kawasan Nusajaya, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 60 tahun itu ditahan di rumah sewanya di Taman Tan Sri Yaacob, pada 7 Julai.

"Lelaki itu didapati melanggar Akta Imigresen kerana tinggal melebihi tempoh yang telah ditetapkan di negara ini. Dia sudah dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, Selasa, berhubung kesalahan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Mohd Mokhtar yang enggan mengulas lanjut mengenai penahanan terbabit berkata lelaki itu diserahkan kepada Pasukan Polis Singapura hari ini selepas pertuduhan di mahkamah selesai.

Difahamkan lelaki itu terlibat dengan pembunuhan itu pada tahun 2001 sebelum waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada 2009.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya sedang mengesan seorang suspek yang menyamar sebagai pegawai tinggi kerajaan bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan wang.

Beliau berkata polis ada menerima empat laporan dari orang ramai berhubung penipuan itu yang dipercayai dilakukan suspek yang sama.

"Menerusi laporan polis yang dibuat 4 Julai lepas, mangsa mengatakan dia menerima panggilan telefon dari suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai tinggi agensi penguatkuasa kerajaan Johor untuk mendapatkan sumbangan dana kelab dan rumah kebajikan.

"Suspek kemudian menghantar wakil untuk berjumpa mangsa sebelum mangsa menyerahkan wang berjumlah RM62,000.

"Mangsa selepas itu menyedari dia ditipu selepas mendapati suspek tidak pernah memohon sebarang sumbangan seperti didakwa dan suspek juga gagal dihubungi," katanya menambah kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata pihaknya turut berjaya menyelesaikan 20 kes samun dan ragut di bandar raya ini selepas menahan lapan lelaki dalam beberapa serbuan di kawasan Majidee, di sini, 9 Julai lepas.

Beliau berkata serbuan dilakukan pada pukul 11 malam dan polis merampas pelbagai barangan termasuk dua kad ATM Bank Of China, pedang, pisau pemotong daging, empat telefon bimbit dan satu rangka motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan yang sama.

Kesemua lelaki berumur 17 hingga 19 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah dan kini ditahan reman untuk siasatan selanjutnya, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain