suria

Kementerian Kesihatan Diminta Siasat Dakwaan Doktor Cina Enggan Rawat Pesakit Melayu

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng meminta Kementerian Kesihatan untuk menyiasat dakwaan bahawa tiga doktor berbangsa Cina di Hospital Seberang Jaya dan Hospital Kepala Batas enggan merawat pesakit Melayu.

"Sekiranya dakwaan itu benar, ketiga-tiga doktor itu bukan saja patut dipecat tetapi lesen perubatan mereka dibatalkan kerana mereka melanggar 'sumpah Hippocrates'.

"Bagimanapun, jika perkara itu tidak benar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam perlu tampil untuk membersihkan reputasi mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dakwaan itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dalam persidangan Dewan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata jabatan itu tidak menerima aduan sedemikian.

"Jika terdapat aduan, kami akan menubuhkan pasukan bebas untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Orang ramai boleh membantu kami dengan memberikan maklumat yang diperlukan. Nama-nama saksi juga patut disertakan," katanya.

Artikel Lain