suria

Rakyat Malaysia Perlu Peka Sensitiviti Agama, Kaum - Joseph Kurup

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pasangan Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik mesej 'Selamat Berbuka Puasa' dalam akaun Facebook sambil menikmati bak kut teh (sup tulang babi).

Joseph berkata pasangan terbabit jelas tidak menghormati kaum dan agama lain dan tindakan mereka boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Beliau melahirkan kekesalan itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Penyatuan Nasional bertajuk 'Bengkel Perkongsian pelbagai Generasi Malaysia' anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Universiti Putra Malaysia, Serdang, dekat sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan.

Akhbar hari ini melaporkan, pasangan berkenaan yang juga bekas penuntut National Universiti of Singapore mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ... wangi enak dan menyelerakan'.

Sebelum ini, pasangan itu pernah mencetuskan kontroversi di Singapura dengan memuat naik gambar dan video lucah mereka ke blog.

Joseph, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap pasangan itu, yang tidak peka terhadap sensitiviti agama dan kaum di Malaysia.

Mengenai Bengkel Penyatuan Nasional, beliau berkata hasil daripada sumbangan idea dan pandangan peserta dalam sesi dialog itu, satu kertas kerja akan dibuat dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada kerajaan.

"Objektif bengkel ini adalah untuk mengukur persepsi masyarakat berbilang kaum terhadap dimensi pendorong perpaduan terpilih dengan mencadangkan satu dimensi baharu yang lebih signifikan dan boleh dijadikan amalan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.

Beliau berkata bengkel tersebut dapat merumuskan kaedah dan pendekatan untuk menambah baik dan mengukuhkan hubungan pelbagai kaum dan agama pada masa depan. - BERNAMA

Artikel Lain