suria

Penamaan Calon DUN Kuala Besut Bermula 9 Pagi Ini

BESUT: Hari ini tumpuan diberikan ke Kompleks Rakan Muda iaitu lokasi proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang berlangsung bermula pukul 9 pagi.

Pengundi DUN Besut bakal menunaikan tanggungjawab mereka sekali lagi dalam tempoh dua setengah bulan selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Pilihan raya ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.

PRK DUN Besut berkemungkinan menyaksikan saingan sengit antara dua muka baru iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman daripada Barisan Nasional (BN) dan Endut @ Azlan Yusof yang mewakili PAS.

Tengku Zaihan, 37, merupakan seorang jurutera awam manakala Azlan, 48, ialah seorang kontraktor kayu di Kota Baru, Kelantan.

Kedua-dua mereka merupakan anak tempatan di Kuala Besut.

Pertembungan ini dilihat begitu signifikan kepada BN dan PAS dalam menentukan masa depan dan senario politik di Terengganu.

Selepas PRU-13, BN berjaya membentuk kerajaan di Terengganu dengan majoriti tipis.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi dan menyaksikan BN menguasai 17 kerusi manakala pakatan pembangkang memiliki 15 kerusi (PAS 14, PKR satu).

Menerusi PRK ini, BN semestinya mahu mengekalkan 'status quo' bagi mengelakkan berlakunya 'DUN tergantung' yang boleh membawa kepada kemungkinan wujudnya krisis Perlembagaan mengenai hak membentuk kerajaan. Di pihak PAS, tentunya mereka menyasarkan kemenangan di kerusi DUN Kuala Besut yang bakal membawa kepada kedudukan DUN 16:16 jika keputusan berpihak kepada parti itu.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi.

Mengikut pecahan umur, sebanyak 27.94 peratus berumur 21 hingga 29 tahun, 27.36 peratus (30 hingga 39 tahun), 19.34 peratus (40 hingga 49 tahun), 12.86 peratus (50 hingga 59 tahun) dan 12.49 peratus berumur 60 tahun ke atas. Sebanyak 93.33 peratus adalah pengundi biasa, 6.67 melibatkan pengundi tentera, polis dan pasangan masing-masing dan seorang pengundi luar negara manakala mengikut pecahan kaum pula, 98.71 peratus Melayu, Cina (0.80 peratus), India (0.08 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.41 peratus.

Artikel Lain