suria

Dua Mayat Ditemui Dalam Kebun Kelapa Sawit

HULU SELANGOR: Dua mayat ditemui dalam kebun kelapa sawit di Jalan Baru, Sri Keledang, Gedangsa di sini dalam keadaan mengerikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Zulkifli Bidin berkata mayat Muhamad Hafiz Omar, 28, dan Hamsi Hashim, 42, ditemui kira-kira 4.30 petang tadi oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan.

Mayat Muhamad Hafiz ditemui di dalam pondok dengan kesan kecederaan di lehernya yang dipercayai akibat disembelih manakala mayat Hamsi ditemui di luar pondok dalam keadaan terlentang dengan kesan kecederaan di kepalanya yang dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Kami percaya kedua-dua mereka tinggal di pondok itu dan merupakan penjaga kebun kelapa sawit tersebut serta ternakan yang dipelihara di situ," katanya kepada Bernama. Zulkifli berkata motif kejadian masih disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA

Artikel Lain