suria

Tawaran Lantik Adun Sg Burong Jadi Pengerusi PAC Selangor Masih Terbuka - Hannah

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh berharap Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Shamsudin Lias mempertimbangkan semula keputusannya menolak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri yang ditawarkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional berkenaan.

Hannah turut menolak dakwaan beliau meletakkan syarat agar Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dilantik sebagai Pengerusi PAC di Parlimen sekiranya Shamsudin diberikan keistimewaan tersebut.

“Saya hendak jelaskan di sini saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat. Saya telah cadangkan jawatan Pengerusi PAC kepada beliau (Shamsudin).

“Saya hanya kata saya harap perkara yang sama dapat dilakukan di Parlimen, kerana kita melaksanakannya di Selangor. Ini bukanlah kali pertama jawatan Pengerusi PAC ditawarkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media di Lobi DUN Selangor pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya berkata pemilihan Adun Sungai Burong sebagai Pengerusi PAC dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor. “Tidak ada syarat..Kita hanya melihat demokrasi turut dilaksanakan di Parlimen. Kita sangat berbesar hati jika mereka dapat melaksanakannya.

“Tawaran kita masih terbuka, jawatan Pengerusi PAC akan tetap diberikan kepada BN. Tanpa apa-apa syarat yang ditetapkan,” katanya.

Isnin lalu, Shamsudin dilaporkan menolak tawaran Speaker DUN melantiknya sebagai Pengerusi PAC negeri.

Shamsudin dilaporkan berkata Hannah telah meletakkan syarat agar Anwar turut dilantik sebagai Pengerusi PAC sekiranya beliau diberikan jawatan.

Beliau dipetik sebagai berkata mahu Hannah lebih ramai wakil BN menggangotai jawatankuasa PAC berkenaan.

Mengulas lanjut, isu berkenaan Hannah berkata beliau tidak dapat mengumumkan senarai nama ahli jawatankuasa PAC negeri kerana ia belum dibentangkan di sidang DUN.

“Kita kena faham Pakatan Rakyat mempunyai ¾ wakil di DUN Selangor, kita perlu berlaku adil. Pembentang usul akan mengumumkan senarai nama ahli jawatankuasa PAC negeri dalam tempoh dua hari lagi,” katanya.

Ditanya siapakah calon yang akan menggantikan Shamsudin sekiranya beliau masih enggan menerima jawatan Pengerusi PAC negeri, Hannah berkata beliau amat berharap BN akan menerima tawaran sebagai Pengerusi PAC demi melakukan ‘periksa dan imbang’ terhadap kerajaan negeri.

“Jika beliau masih enggan orang lain dalam PAC perlu memegang jawatan tersebut…Terpulang kepada dia, saya tidak boleh paksa dia. Setakat hari ini tawaran kita masih terbuka kepadanya. Saya berharap dia dapat menimbangkan semula keputusannya dan mengetuai PAC

“Sebagai pengerusi PAC banyak peranan yang boleh dimainkan oleh beliau sebagai contoh menyemak projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Artikel Lain