suria

Kerajaan Komited Tunai Janji Turun Harga Kereta

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menunaikan janji untuk menurunkan harga kereta namun akan memastikan pembangunan kereta nasional kekal kompetitif dalam persaingan sengit yang bakal dihadapi berikutan langkah itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, kerajaan tetap komited untuk menepati janji menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun seperti yang dijanjikan di dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk mengurangkan duti import sebagai mekanisme untuk mengurangkan harga kereta.

"Ini adalah kerana penghapusan duti tidak menjamin penurunan harga kereta," katanya ketika menjawab soalan Datuk Chua Tee Yong (BN-Labis) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Chua bertanya bilakah kerajaan akan menurunkan kadar duti ke atas kereta-kereta yang diimport supaya harga kereta dapat diturunkan bagi menepati janji-janji semasa kempen PRU-13.

Hamim berkata, penurunan duti import tidak dapat dilaksana secara mendadak kerana harga kereta ditentukan beberapa faktor lain termasuk syarikat-syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan, kadar tukaran mata wang asing, kos pengangkutan, insurans dan kadar faedah pinjaman.

"Di samping itu, penghapusan duti terutamanya duti eksais akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai yang dianggarkan RM7 bilion setahun.

"Kekurangan hasil cukai itu akan membataskan keupayaan kerajaan untuk menyediakan keperluan asas kepada rakyat," katanya.

Menjawab soalan Anuar Abdul Manap (BN-Sekijang) mengenai kesan penurunan harga kereta terhadap jualan kereta nasional, Hamim mengakui langkah itu akan memberi saingan kepada kereta nasional.

Bagaimanapun, katanya, persaingan itu akan menggalakkan syarikat pengeluar kereta nasional untuk terus meningkatkan lagi daya saing mereka dengan mengeluarkan kereta yang berkualiti dengan harga yang lebih kompetitif untuk kekal sebagai kereta pilihan rakyat Malaysia.

Dalam hal itu, katanya, kereta nasional sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan ia tidak ketinggalan.

"Kerajaan akan terus menyokong pembangunan kereta nasional supaya kekal kompetitif di pasaran tempatan, serantau dan global," katanya.

Mengenai isu lambakan kereta-kereta terpakai terutamanya yang melebihi usia 10 hingga 15 tahun, Hamim berkata, kerajaan bersedia mengkaji semula dasar tempoh jangka hayat kenderaan dalam kajian Dasar Automotif Nasional (NAP) dengan memulakan program secara sukarela.

Kerajaan telah memperkenalkan langkah untuk menangani isu itu sejak NAP diperkenalkan pada 2009, namun terpaksa ditarik balik selepas mengambil kira pandangan dan rungutan orang ramai.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) Hamim berkata, setakat ini tidak ada permohonan daripada mana-mana syarikat untuk mengimport gandum yang mengandungi organisme yang diubahsuai secara genetik (GMO).

"Jika Yang Berhormat sebut kilang di Pasir Gudang, setakat ini tidak ada apa-apa permohonan (untuk mengimport gandum), maknanya tidak ada gandum GMO yang diimport dari mana-mana negara khususnya Amerika Syarikat," katanya.

Reezal ingin tahu peratusan import gandum dari Amerika sepanjang lima tahun lepas dan sama ada kementerian maklum bahawa ada negara, termasuk Jepun yang telah menghentikan sama sekali import gandum daripada Amerika ekoran skandal GMO secara terbuka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain