suria

Sultan Johor Minta Semua Pihak Berhenti Pertikai Pelantikan Tee

JOHOR BAHARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta semua pihak berhenti mempertikaikan soal pelantikan Datuk Tee Siew Kiong sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor.

Baginda, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda Jaba Mohd Noah, bertitah sama ada pihak MCA ataupun pihak yang lain haruslah menghormati keputusan yang telah dibuat dan tidak wajar untuk terus mempertikaikan kuasa Sultan Johor sebagai sultan yang memerintah negeri ini.

"Tuanku telah melantik Datuk Tee supaya setiap kaum yang utama ada wakil di dalam barisan Exco kerajaan negeri.

"Baginda tidak perlu untuk mendapatkan mana-mana cadangan daripada mana-mana pihak dan tidak juga perlu menjelaskan mengapa Datuk Tee dipilih," menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, Isnin.

Menurut Jaba, Sultan Johor juga menegaskan apa juga masalah yang timbul di dalam parti politik yang Tee sertai bukanlah menjadi isu terhadap pelantikan beliau sebagai Exco.

Katanya baginda bertitah apa jua tindakan ke atas Tee adalah hak dan kuasa pada parti serta pemimpinnya dan baginda tidak akan mencampuri urusan dalam parti politik dan dalam masa yang sama baginda juga tidak mahu ada mana-mana parti mencampuri urusan pemerintahan baginda

"Walaupun beliau dipecat daripada partinya, beliau tetap merupakan seorang ahli Exco kerajaan Johor yang telah dilantik oleh Sultan Johor atas perkenan dan pilihan tuanku sendiri di bawah kuasa melantik yang termaktub dalam Fasa 4 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor."

Baginda juga berharap perpaduan rakyat di negeri ini mestilah dipelihara dan diperkukuhkan oleh semua kaum dan masyarakat yang tinggal di negeri ini.

MCA bertindak menggantung keanggotaan Tee selama tiga tahun pada 20 Jun lalu kerana menerima jawatan Exco.

Ketua Pemuda parti itu Datuk Dr Wee Ka Siong baru-baru ini turut mempersoal tindakan Tee itu dengan alasan masih ada wakil rakyat lain yang boleh mewakili kaum Cina dalam barisan Exco kerajaan negeri Johor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain