suria

Pelan Transformasi Ekonomi Tanzania Siap Dengan Bantuan Malaysia - PM

DAR ES SALAAM (Tanzania): Rangka tindakan bagi program transformasi ekonomi Tanzania siap dengan bantuan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata pelan itu telah disediakan oleh Tanzania dengan bantuan Malaysia, disesuaikan dengan keperluan mereka walaupun mereka mencontohi Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Kerajaan Tanzania menjemput Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) empat kali untuk memberi taklimat kepada anggota kabinet mereka," kata Najib kepada media Malaysia di luar acara Dialog Perkongsian Bestari Global di sini.

Najib berkata ia adalah satu penghargaan yang besar kepada Malaysia memandangkan Tanzania memilih model Malaysia dan bukan model Barat untuk meningkatkan pembangunan sosio-ekonominya.

Beliau berkata Tanzania menunjukkan minat terhadap ETP semasa Dialog Antarabangsa Langkawi yang diadakan di Putrajaya pada 2011.

Najib berkata beberapa negara Afrika yang lain juga berminat untuk mencontohi ETP, yang bertujuan untuk menggandakan pendapatan per kapita Malaysia daripada US$7,000 pada 2010 kepada US$15,000 menjelang 2010.

Bagaimanapun beliau berkata Malaysia akan membantu Tanzania terlebih dahulu sebelum membantu negara lain kerana "tidak mahu melakukan lebih daripada kemampuan".

Idris, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata Malaysia membantu Tanzania dalam menyediakan teknologi untuk menguruskan sebuah kerajaan.

"Kami mengadakan bengkel kabinet dan makmal untuk pertanian, air, pelabuhan, penggunaan sumber dan pendidikan dalam membantu mereka untuk merangka program itu," kata Idris, yang bertanggungjawab terhadap Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang peranan utamanya untuk menyelia pelaksanaan ETP dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Beliau berkata mereka kagum dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerana menteri sendiri mempunyai KPI mereka sendiri.

Tanzania mempunyai potensi ekonomi yang besar kerana mempunyai rizab gas sebanyak 35 trilion kaki padu, kata Idris, yang pernah berkhidmat dengan sebuah syarikat minyak antarabangsa sebelum menyertai kabinet Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain