suria

Jerebu: PM Isytihar Darurat Di Muar, Ledang

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor sehingga ke suatu masa ia ditarik balik.

Pengisytiharan itu dibuat berikutan keadaan jerebu khususnya di kawasan Muar meliputi dua daerah itu berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 iaitu pada tahap kecemasan atau 'emergency', katanya dalam satu kenyataan.

"Pengiystiharan darurat bencana jerebu ini tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan sekarang," katanya.

Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan bacaan IPU di Muar setakat 7 pagi ini ialah 746 manakala bacaan setakat 11 pagi pula meskipun mencatatkan sedikit penurunan kepada 690 tetapi masih pada tahap bahaya.

Najib berkata semua kementerian dan agensi terlibat dalam pengurusan bencana jerebu di peringkat persekutuan, negeri dan daerah dikehendaki mengatur dan mengambil langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.

Katanya satu garis panduan mengenai tindakan untuk menghadapi darurat jerebu telah disediakan sebagai panduan semua pihak melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam kenyataannya itu turut dilampirkan garis panduan tindakan dalam menghadapi darurat jerebu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri.

Artikel Lain