suria

Kualiti Udara Muar Sangat Berbahaya, Catat IPU 453

Kesan kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia turut menyebabkan kejadian jerebu di daerah Kuantan semasa tinjauan di Kuantan pada Sabtu. -Foto BERNAMA.
Kesan kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia turut menyebabkan kejadian jerebu di daerah Kuantan semasa tinjauan di Kuantan pada Sabtu. -Foto BERNAMA.
Kesan kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia turut menyebabkan kejadian jerebu di daerah Kuantan semasa tinjauan di Kuantan pada Sabtu. -Foto BERNAMA.

MUAR: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar mencapai tahap amat berbahaya pada pukul 4 petang ini dengan bacaan 453, semakin merosot berbanding 373 yang direkod pada 11 pagi Sabtu.

Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata kualiti udara di daerah itu mencatat kemerosotan sejak awal pagi dengan bacaan IPU 276 pada 7 pagi, 312 (8 pagi), 338 (9 pagi) dan 360 (10 pagi).

Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman webnya, 10 kawasan mencatat IPU tidak sihat di seluruh negara dengan tiga daripadanya di Johor iaitu Kota Tinggi dengan bacaan 189, Larkin Lama (167) dan Pasir Gudang (187).

Dua kawasan di Melaka turut mencatat IPU tidak sihat iaitu Bandaraya Melaka (188) dan Bukit Rambai (170). Sebanyak 39 kawasan mencatat IPU sederhana dan dua lagi dikategorikan baik.

Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Sementara itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata beliau dijadual ke Jakarta pada Rabu untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya di Indonesia Prof Dr Balthasar Kambuayato mengenai isu jerebu.

Pertemuan itu, katanya dijangka membincangkan mengenai penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan langkah-langkah proaktif mengenai perkara itu seperti pembenihan awan.

Sementara itu JAS menerusi kenyataan hari ini berkata peningkatan IPU pada tahap tidak sihat dan berbahaya masih dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya yang sedang dialami negara dan dijangka berterusan sehingga September ini.

"Peta jerebu serantau dikeluarkan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) pada 21 Jun (semalam) menunjukkan asap jerebu yang bertambah tebal dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah dan selatan pantai barat Semenanjung Malaysia," katanya.

Jabatan itu berkata ASMC juga melaporkan titik panas di Sumatera semalam telah berkurangan kepada 21 berbanding 64 pada Khamis lepas dan 173 pada Rabu lepas. Katanya larangan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 yang dikeluarkan Ketua Pengarah Alam Sekitar Rabu lepas di Selangor, Melaka dan Johor masih berkuatkuasa kecuali beberapa aktiviti seperti pembakaran mayat dan pembakaran bagi tujuan keagamaan.

Sementara itu di SHAH ALAM, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Siti Zaleha Ibrahim berkata kualiti udara di kebanyakan tempat di negeri itu mengalami kemerosotan hari ini, namun jabatan itu menjangka kualiti udara akan bertambah baik beberapa hari lagi.

"Pemantauan berterusan akan dijalankan sehingga IPU mencatat bacaan sihat, terutama di Pelabuhan Klang yang berdekatan dengan Sumatera. JAS akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan larangan pembakaran terbuka," katanya ketika dihubungi Bernama. Kualiti udara di dua kawasan di Selangor petang ini berada pada tahap tidak sihat iaitu Pelabuhan Klang dengan bacaan 145 dan Banting 107. -BERNAMA

Artikel Lain