suria

Adik Beradik Ditahan, Polis Rampas Heroin 13.6kg

SHAH ALAM: Polis menahan dua beradik lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 13.6 kilogram dianggar bernilai RM720,000 di tepi Jalan Semenyih, Kajang di sini Khamis.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata adik-beradik berumur 29 dan 32 tahun itu ditahan ketika sedang membuat urus-niaga dadah dengan seorang pembeli kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Polis memerhati gerak geri suspek setelah mendapat maklumat dan menahan mereka serta merampas sebuah beg galas yang mengandungi 30 paket berisi dadah jenis heroin," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Jumaat.

Thaiveegan berkata siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibungkus dalam paket-paket kecil seberat dua gram setiap satu dan dipercayai dijual dengan harga RM80 sepaket untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata dua beradik itu dipercayai bergerak aktif dalam pengedaran dadah sejak lima bulan lepas.

Polis juga tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kaitan dengan sindiket dadah dari negeri lain, katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu masing-masing mempunyai dua dan tiga rekod jenayah lampau termasuk membabitkan penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain