suria

Pergaduhan Pekerja Myanmar Disebabkan Isu Politik Di Negara Asal - Wan Junaidi

PUTRAJAYA: Beberapa pergaduhan melibatkan warga Myanmar yang dilaporkan di Lembah Klang baru-baru ini adalah disebabkan isu politik di negara mereka dan tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, seramai 257,000 warga Myanmar bekerja di Malaysia ketika ini dengan lebih separuh daripada mereka merupakan pekerja tanpa izin dan pastinya mempunyai masalah di kalangan mereka.

Beliau berkata, tujuh laporan polis dibuat mengenai pergaduhan antara pekerja Myanmar di Lembah Klang tahun ini, melibatkan empat kematian dan polis telah melakukan terbaik dalam mencegah daripada berlaku pertumpahan darah.

"Dua Pasar Borong Selayang dan Jinjang di Selangor hampir dikuasai warga Myanmar. Mereka diletakkan di situ oleh peniaga tempatan dan mereka (warga Myanmar) telah memonopoli perniagaan di sana," katanya.

Wan Junaidi berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Myanmar, U Zin Yaw dan Timbalan Menteri Buruh, Guna Tenaga dan Keselamatan Sosial Myanmar Daw Win Maw Tun, di pejabatnya di sini, Khamis.

Wan Junaidi juga menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengambil tindakan tegas terhadap warga Myanmar yang tinggal melebihi tempoh di Malaysia.

"Jika mereka bekerja secara sah, kita mengalu-alukan mereka untuk bekerja di Malaysia dan membantu untuk membangunkan negara kita," katanya.

Sementara itu Zin Yaw berkata, beliau berpuas hati dengan cara pihak berkuasa Malaysia mengendalikan pergaduhan itu dan berjanji untuk bekerjasama membantu menyelesaikan isu tersebut.

"Kami benar-benar gembira dengan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain