suria

Korban Tragedi Angin Kencang Meningkat Kepada Dua Orang

GEORGE TOWN: Jumlah kematian dalam kejadian angin kencang di Pulau Pinang meningkat kepada dua orang selepas seorang warga India berusia 46 tahun maut akibat kecederaan serius dialaminya kira-kira pukul 9.20 malam Khamis.

Sulaiman Jahir Hussain, dari Devakottai, India, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang selepas mengalami beberapa kecederaan di kepala.

Dia merupakan pemandu gantian sebuah lori yang melalui bangunan Umno apabila kepalanya terkena serpihan konkrit yang tumbang.

Pemandu lori yang berada di sebelah Sulaiman pada waktu itu berjaya menyelamatkan diri.

Ini adalah kematian kedua direkodkan selepas seorang pekerja Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), Wong Tze Chow, 33, meninggal dunia di Air Itam selepas motosikal yang ditungganginya dihempap sebatang pokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata lima mangsa cedera dalam insiden tersebut tetapi empat dibenarkan keluar dari hospital.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 71 tahun masih lagi ditahan di wad untuk pengawasan.

Artikel Lain