suria

Suami Isteri & Anak Maut Dalam Kemalangan Ngeri di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri dan anak mereka berusia tiga tahun maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Bukit Teh, di sini malam Isnin.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, Hasmizam Yahya, 36, Yusniza Abdul Rahman, 31, dan anak mereka Nurul Huda, 3, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata seorang lagi anak pasangan itu dikenali sebagai Hawa berusia empat tahun yang turut menaiki motosikal berkenaan selamat dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Katanya, Hawa mengalami patah tulang bahu, tulang belakang dan tulang punggung serta luka di beberapa bahagian badan. "Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas motosikal yang ditunggang Hasmizam dalam perjalanan ke sebuah kampung berhampiran dilanggar sebuah kenderaan lain sebelum beliau dan tiga penunggang lain terpelanting ke jalan bertentangan.

"Sebuah kereta jenis Proton Saga yang melalui jalan bertentangan merempuh motosikal dan empat mangsa berkenaan sebelum menyeret keluarga berkenaan beberapa meter," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Selasa.

Azman berkata akibat pergeseran antara motosikal dan kereta berkenaan berlaku kebakaran sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan hangus terbakar.

Hasmizam yang bekerja sebagai pemandu lori terbakar, manakala isteri yang bekerja di sebuah kilang di sini dan anaknya maut berikutan kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Beliau berkata pemandu kereta proton saga yang datang dari arah Simpang Ampat Tasek sempat menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.

"Mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam, di sini untuk bedah siasat," katanya. Azman berkata orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan berkenaan diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, mayat tiga beranak berkenaan telah dituntut oleh anggota keluarga dan jenazah mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Janggus Cheruk Tokkun di sini. -BERNAMA

Artikel Lain