Imigresen Sabah Hanya Ikut Arahan Halang Kemasukan Nurul Izzah - Semasa | mStar

Imigresen Sabah Hanya Ikut Arahan Halang Kemasukan Nurul Izzah

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan berkata mereka hanya mengikut arahan kerajaan negeri dalam menghalang Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sabah.

"Arahan itu diterima dari semasa ke semasa," katanya ketika ditanya mengenai identiti individu lain yang turut dilarang memasuki Sabah.

Seorang pegawai di Jabatan Ketua Menteri berkata, tiada kenyataan rasmi berhubung perkara itu dikeluarkan setakat ini.

Nurul Izzah tiba di sini petang Khamis tetapi tidak dibenarkan memasuki negeri itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Darrel Leiking meminta kerajaan Sabah untuk mengemukakan senarai nama individu yang dianggap sebagai persona non grata atau dilarang daripada memasuki negeri itu.

Beliau berkata, tindakan itu akan menjimatkan masa individu tersenarai daripada berlepas ke Sabah yang hanya dimaklumkan apabila tiba untuk memasuki negeri itu.

"Kami menghargai kerajaan Sabah mempunyai hak untuk menyekat kemasukan terutamanya pendatang asing atau individu tidak diingini.

"Pada masa sama, kerajaan negeri perlu kemukakan senarai mereka yang dilarang daripada memasuki Sabah. Ia akan menjimatkan masa dan wang bagi mereka yang tersenarai," katanya.

Darrel berkata demikian bagi mengulas tindakan Jabatan Imigresen Sabah yang menghalang kemasukan Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke negeri itu pada petang Khamis.

Beliau berkata, selain senarai nama-nama individu terbabit, kerajaan negeri juga harus mengemukakan sebab individu itu dihalang memasuki negeri itu.

Darrel berkata kunjungan Nurul Izzah adalah untuk meraikan pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Penampang di sini.

"Beliau tidak pernah merasai pengalaman pesta Kaamatan dan tidak sabar untuk meraikannya," kata Darrel.

Jelas beliau, Nurul Izzah sepatutnya menghabiskan masa selama sehari di Kota Kinabalu dan menikmati hidangan makanan laut sebelum berlepas kembali ke Kuala Lumpur pada Jumaat.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain