suria

17 Anggota MCA Gelang Patah Letak Jawatan, Hormati Resolusi Parti

JOHOR BARU: Tujuh belas anggota MCA Bahagian Gelang Patah pada Khamis meletakkan jawatan dalam agensi pentadbiran kerajaan, berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusinya Jason Teoh berkata mereka melibatkan tiga anggota Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah, lima ketua kampung, seorang pegawai kerajaan tempatan dan perumahan, dua pegawai kebajikan serta enam anggota lembaga pelawat Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.

"Keputusan peletakan jawatan itu bagi menghormati resolusi MCA yang menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan berikutan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Kami terima keputusan pilihan raya itu dan akan mengikut resolusi tersebut. Oleh itu, saya mengetuai rakan-rakan MCA yang memegang jawatan masing-masing untuk meletakkan jawatan secara keseluruhan," katanya kepada pemberita, di sini.

Teoh berkata Pusat Khidmat MCA Gelang Patah bagaimanapun tidak akan ditutup dan usaha membantu masyarakat tetap diteruskan.

Susulan peletakan jawatan itu juga beliau menasihatkan penduduk di Gelang Patah agar mengadu masalah masing-masing kepada anggota parlimen mereka yang baharu.

"Oleh kerana ketiadaan jawatan, mungkin kami akan mengalami masalah tertentu dan tidak secekap dahulu. Kami akan rancang cara lain untuk mendekati penduduk Gelang Patah," katanya.

Katanya MCA Gelang Patah sudah bekerja keras dalam membantu masyarakat dengan kebanyakan isu sudah diselesaikan walaupun ada kes tertentu yang gagal memuaskan kehendak mereka. - BERNAMA

Artikel Lain