Lelaki Myanmar Rampas Senjata Polis, Lepaskan Tembakan Di Butterworth - Semasa | mStar

Lelaki Myanmar Rampas Senjata Polis, Lepaskan Tembakan Di Butterworth

BUTTERWORTH: Seorang lelaki Myanmar ditahan selepas merampas pistol anggota polis dan melepaskan tiga das tembakan di Balai Polis Chai Leng Park di sini, awal hari Isnin.

Lelaki berusia 33 tahun terbabit sebelum itu memasuki balai polis berkenaan pada pukul 1.30 pagi untuk membuat laporan polis mendakwa ada orang yang ingin memukulnya dalam pergaduhan di Taman Inderawasih, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata bagaimanapun Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang diminta menyiasat mengenai perkara itu memaklumkan anggota polis bertugas di balai berkenaan bahawa tiada sebarang kejadian pergaduhan seperti dilaporkan lelaki terbabit.

"Lelaki Myanmar yang hanya berkain pelikat dengan kemeja T berwarna biru dan berkaki ayam itu secara tiba-tiba memanjat meja tempat laporan polis dibuat dan mencekik anggota bertugas itu dan berlaku pergelutan.

"Dalam masa sama lelaki terbabit merampas pistol dan mengacukannya ke kepala anggota polis itu," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Beliau berkata koperal polis berkenaan berjaya melepaskan diri daripada lelaki terbabit dan keluar daripada balai itu.

"Sebaik keluar dari balai, anggota polis itu mendengar bunyi tiga das tembakan," katanya.

Mazlan berkata lelaki Myanmar itu kemudian keluar dari balai dan anggota polis berkenaan cuba memujuk suspek untuk mengembalikan senjatanya.

"Suspek mengacukan pistol ke kepalanya dan terus menarik picu tetapi pistol itu tidak meletup...dua anggota URB tiba di balai itu dan mereka berjaya menangkap lelaki terbabit," katanya.

Beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan dan telah tiga tahun bekerja kontrak di Pulau Pinang.

Lelaki terbabit dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan, katanya sambil memberitahu bahawa pemeriksaan pihak forensik menemui tiga kesan tembakan pada pencetak, dinding meja dan pintu kaca serta tiga kelongsong dan 12 butir peluru. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain

Guardiola bakal tinggalkan City?