suria

Lelaki Myanmar Rampas Senjata Polis, Lepaskan Tembakan Di Butterworth

BUTTERWORTH: Seorang lelaki Myanmar ditahan selepas merampas pistol anggota polis dan melepaskan tiga das tembakan di Balai Polis Chai Leng Park di sini, awal hari Isnin.

Lelaki berusia 33 tahun terbabit sebelum itu memasuki balai polis berkenaan pada pukul 1.30 pagi untuk membuat laporan polis mendakwa ada orang yang ingin memukulnya dalam pergaduhan di Taman Inderawasih, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata bagaimanapun Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang diminta menyiasat mengenai perkara itu memaklumkan anggota polis bertugas di balai berkenaan bahawa tiada sebarang kejadian pergaduhan seperti dilaporkan lelaki terbabit.

"Lelaki Myanmar yang hanya berkain pelikat dengan kemeja T berwarna biru dan berkaki ayam itu secara tiba-tiba memanjat meja tempat laporan polis dibuat dan mencekik anggota bertugas itu dan berlaku pergelutan.

"Dalam masa sama lelaki terbabit merampas pistol dan mengacukannya ke kepala anggota polis itu," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Beliau berkata koperal polis berkenaan berjaya melepaskan diri daripada lelaki terbabit dan keluar daripada balai itu.

"Sebaik keluar dari balai, anggota polis itu mendengar bunyi tiga das tembakan," katanya.

Mazlan berkata lelaki Myanmar itu kemudian keluar dari balai dan anggota polis berkenaan cuba memujuk suspek untuk mengembalikan senjatanya.

"Suspek mengacukan pistol ke kepalanya dan terus menarik picu tetapi pistol itu tidak meletup...dua anggota URB tiba di balai itu dan mereka berjaya menangkap lelaki terbabit," katanya.

Beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan dan telah tiga tahun bekerja kontrak di Pulau Pinang.

Lelaki terbabit dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan, katanya sambil memberitahu bahawa pemeriksaan pihak forensik menemui tiga kesan tembakan pada pencetak, dinding meja dan pintu kaca serta tiga kelongsong dan 12 butir peluru. - BERNAMA

Artikel Lain