suria

Kaji Ordinan Sabah Isu Anak Negeri - RCI

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang tanpa izin di Sabah mahu sebahagian daripada Ordinan Sabah 1964 berkaitan tafsiran 'Anak Negeri' dikaji semula pada persidangan tahunan Mahkamah Anak Negeri akan datang.

Tan Sri Herman J Luping Herman, yang bersidang bersama panel lima anggota diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, turut mencadangkan isu sama ada bab 64 Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) 1952 perlu dimansuh atau sebaliknya, dibawa ke persidangan itu.

Langkah itu dipersetujui Ketua Daerah Kudat Harun Bidin yang memberi keterangan pada prosiding yang berlangsung Isnin.

Terdahulu, Herman, yang juga bekas Peguam Besar Sabah, menyoal Harun sama ada penduduk dari Indonesia, Filipina atau Singapura boleh dianggap sebagai Anak Negeri dan beliau menjawab tidak.

"Terdapat bangsa Suluk di Sabah dan Filipina. Bagaimanapun, kita tidak mengiktiraf bangsa Suluk di Filipina sebagai Anak Negeri Sabah," katanya.

Suruhanjaya itu turut dimaklum terdapat draf cadangan oleh Jabatan Peguam Negeri berkaitan undang-undang keluarga anak negeri di Sabah berikutan kenyataan Peguam Besar Sabah ketika itu Datuk Roderic Fernandez pada pembukaan Tahun Perundangan 2008 bahawa Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dan semua peraturan di bawahnya yang digubal pada 1995 terpaksa dikaji semula.

Bagaimanapun, Herman berkata tiada sebarang perkembangan berkaitan perkara itu dan mencadangkan Harun mengetengahkan isu berkenaan pada persidangan sama dan menggesa agar draf cadangan tersebut diluluskan.

Panel suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY Mustapha.

Prosiding bersambung Selasa. BERNAMA

Artikel Lain