suria

Tok Pa Terajui Miti

KUALA LUMPUR: Datuk Mustapa Mohamed dikekalkan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi penggal kedua, suatu langkah yang rata-rata dilihat sebagai meneruskan usaha agresif untuk merancakkan perdagangan antarabangsa Malaysia dalam persekitaran ekonomi global yang sengit.

Antara tugas utama Mustapa ialah memastikan kesinambungan pelaburan asing untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perdagangan yang kompetitif menjelang 2020.

Mustapa, 63, memenangi kerusi Parlimen Jeli dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini setelah menewaskan calon PAS, Mohd Apandi dengan majoriti 5,269 undi.

Anak kelahiran Bachok ini juga memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Panas setelah mengalahkan calon PAS, Abdullah Ya'akub, dengan majoriti tipis sebanyak 47 undi.

Mustapa yang merupakan graduan dari University of Melbourne, Australia juga memegang ijazah kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Undang-Undang dan Perniagaan, masing-masing dari alma maternya dan University of Nottingham.

Pada tahun 2000, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Kelantan itu memegang jawatan Penasihat Ekonomi di Kementerian Kewangan.

Artikel Lain