suria

Bekas Pelajar HSBM & Anak Jati P.Pinang Dilantik Tim.Menteri

J. Loga Bala Mohan
Loga Bala Mohan
Loga Bala Mohan

GEORGE TOWN: Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan berterima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri melantiknya sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Beliau yang akan dilantik sebagai senator berjanji akan berusaha bersama-sama barisan anggota Kabinet yang baharu untuk membawa negara lebih maju di masa hadapan.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana percaya kepada saya atas lantikan ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pentadbiran kerajaan 'berimbang' diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menampilkan enam wakil India dua menteri dan empat timbalan menteri.

Mengulas mengenai pelantikan kali pertama dua wakil yang bukannya dari parti MIC, beliau berkata ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dalam usaha membawa perubahan dalam kedudukan sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini.

"Keyakinan dan kepercayaan terhadap masyarakat India ini merupakan satu tanggungjawab yang besar, ia adalah perkhidmatan dari rakyat kepada rakyat," katanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang dilahirkan pada 3 April 1966 itu bagaimanapun tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) (Kepujian) dari Kings College, University of London, United Kingdom pada 1987 dan Ijazah Doktor Falsafah dari sebuah universiti di Amerika Syarikat pada 1997.

Artikel Lain