suria

Polis Johor Nasihat Orang Ramai Tidak Sertai Perhimpunan 505

JOHOR BAHARU: Polis Daerah Johor Baharu Selatan menasihati orang ramai agar tidak menyertai Perhimpunan 505 yang dijadual diadakan di Dataran Johor Baharu esok.

Menurut Ketua Polis Daerah ACP Zainuddin Yaacob, perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 itu tidak memenuhi kehendak Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Polis Johor Baharu Selatan telah menerima notis pemberitahuan daripada Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor untuk mengadakan perhimpunan itu, namun pemberitahuan tersebut dihantar kurang daripada tempoh 10 hari yang ditetapkan akta berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini Selasa.

Pihak penganjur juga tidak mengemukakan surat kebenaran menggunakan dataran itu daripada Majlis Bandaraya Johor Baharu, katanya.

Sehubungan itu, Zainuddin berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada terhadap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain