suria

Malindo Air Terbang Ke Sibu, Miri Dan Tawau

KUALA LUMPUR: Malindo air, satu-satunya syarikat penerbangan hibrid Malaysia, pada Jumaat mengumumkan pelan peluasan rangkaiannya dengan memulakan penerbangan ke Sibu (11 Jun), Miri (14 Jun) dan Tawau (26 Jun).

Pada masa ini, syarikat penerbangan itu menawarkan perkhidmatan ke Kuching dan Kota Kinabalu.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata, peluasan baharu itu menawarkan pengguna dengan pilihan penerbangan yang lebih luas.

Malindo air menawarkan pengguna peluang untuk menggunakan perjalanan kelas ekonomi ke destinasi baharu tambang inklusif bermula daripada RM98 ke Miri, RM98 ke Sibu dan RM138 ke Tawau.

Malindo air juga menawarkan tambang kelas perniagaan inklusif daripada RM499 ke Miri, Sibu, Tawau, Kuching dan Kota Kinabalu.

Pengenalan tiga laluan baru ini adalah bersempena penerimaan pesawat ketiga dan keempat syarikat penerbangan itu yang beroperasi dari Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malindo air syarikat penerbangan paling muda menggunakan pesawat paling canggih di Malaysia dan Asia, dan akan terus berada pada kedudukan itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang apabila menerima lebih banyak pesawat baru dalam kumpulan pesawatnya.

Lebih 100,000 tetamu sudah menggunakan Malindo air sejak beroperasi pada 22 Mac lepas.

Malindo air kini menggunakan dua pesawat Boeing 737-900ER (extended range) dalam konfigurasi dua kelas - 12 tempat duduk perniagaan dan 168 tempat duduk ekonomi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain