suria

Suri Rumah, Lima Penganggur Didakwa Bunuh Pemandu Lori

PETALING JAYA: Seorang suri rumah dan lima penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis terhadap pertuduhan membunuh seorang pemandu lori, bulan lepas.

P. Sivagami, 29, didakwa membunuh suaminya, S.M. Gunasegaran, 40, bersama lima lagi lelaki iaitu G. Thamilarasu, 20, Muhammad Nazir Kassim, 21, T. Pathmanathan, 32, K. Mathiarasan, 22, dan A. Thinagesvaran, 21.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mangsa di Subang Perdana Court 2, Jalan Taman Industri Subang 6/1, Subang Jaya, dekat sini sekitar 3.30 pagi hingga 4 pagi, 28 April lepas.

Tiada pengakuan direkodkan. Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohamad.

Sivagami diwakili peguam Datuk Suraj Singh manakala lima tertuduh yang lain tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain