suria

Najib Mahu BN Lipat Ganda Usaha - Anggota Parlimen BN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara lain mahu anggota parlimen Barisan (BN) melipatgandakan usaha memenangi hati pengundi muda dan kaum Cina sebagai persediaan pilihan raya umum ke-14.

Menurut Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Perdana Menteri juga mahu anggota parlimen BN memikat hati pengundi di kawasan bandar kerana didapati isu bandar kurang diberi perhatian semasa kempen pilihan raya yang berakhir kelmarin.

"Perdana Menteri juga merasakan ada isu lain berkaitan dengan keperluan penduduk bandar yang mungkin kita perlu bagi perhatian dan berikan yang terbaik agar di masa akan datang mereka akan menyokong kita," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditanya mengenai isi taklimat khas tertutup antara Najib yang juga Pengerusi BN dan anggota parlimen gabungan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Selasa.

Sementara itu Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata Najib meminta anggota BN menerapkan sifat kebersamaan dan bersatu padu dalam menghadapi pelbagai gelombang fitnah pembangkang.

"Kami teguh di bawah BN dan setia pada kerajaan. Seharusnya semua pihak perlu menghormati keputusan PRU dan terus menyokong kepimpinan yang ada," katanya.

Anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim pula berkata Perdana Menteri turut meminta wakil rakyat BN terus bekerja untuk rakyat dan mengingatkan mereka supaya tidak leka dengan kemenangan hari ini.

Anggota Parlimen Putatan Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh berkata Perdana Menteri juga mahu setiap wakil rakyat mencari kaedah yang sesuai untuk lebih bersedia menghadapi rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami perlu bersiap sedia untu membentuk kerajaan yang lebih stabil dan sekali gus mampu meningkatkan keyakinan rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain