suria

Lim Kini Terdesak - Zainal Abidin

NIBONG TEBAL: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng kelihatan terdesak melihat kebangkitan rakyat yang mula menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.

Beliau berkata disebabkan keadaan yang terdesak itu, Lim mula bercakap kosong dan membuat pelbagai tuduhan karut terhadap BN.

"Dia lihat seperti satu kebangkitan rakyat di Pulau Pinang ini setelah lima tahun asyik berpolitik, lepas itu dia tidak boleh tawar apa-apa. Dia tawar terowong, rakyat tak minat terowong. Dia tak dapat menghayati denyut nadi rakyat Pulau Pinang, yang dia tahu buat terowong RM6.3 bilion dan tambak tanah," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan sewa rumah dan pelaksanaan projek di Tapak Projek Sekolah Agama Rakyat Al-Amin di sini, hari ini. Turut hadir calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh Datuk Mahmud Zakaria.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa inisiatif di Pulau Pinang termasuk membina 9,999 unit rumah mampu milik di negeri ini jika rakyat memberi mandat kepada BN mentadbir semula kerajaan negeri itu.

"Saya merasakan kami (BN) berada di landasan yang baik dan kami akan mempertingkatkan kerja kami dalam dua hari ini. Keyakinan kami hari ini adalah untuk menang majoriti mudah di Pulau Pinang iaitu 21 kerusi bagi merampas kembali dewan undangan negeri Pulau Pinang untuk Barisan Nasional," kata Zainal Abidin.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dewan undangan negeri.

Pada majlis itu, Zainal Abidin yang juga calon BN bagi kawasan Parlimen Nibong Tebal menyerahkan surat pelaksanaan projek bernilai RM1.5 juta kepada kontraktor untuk membina blok tambahan Sekolah Agama Rakyat Al-Amin.

Blok tambahan itu dijangka siap pada April 2014. - BERNAMA

Artikel Lain