suria

Hasrat Pegawai Polis Ingin Pulang Mengundi Bertukar Tragedi Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Hasrat sepasang suami isteri untuk pulang mengundi sebagai pengundi awal tidak kesampaian apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas di KM 17 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang dekat Kampung Sungai Mali di sini awal pagi Selasa.

Akibat kemalangan pada 3.50 pagi itu, pegawai polis Bukit Aman, Supt Ghazali Daud, 49, patah kaki kanan manakala isterinya Haniza Abd Rahman, 40, dan dua anaknya, Ahmad Firdaus Izzudin, 10, Nur Aliah Adibah, 9, maut di tempat kejadian.

Anak sulungnya Ahamd Fahmi Izzuddin, 12, terselamat.

Menurut Ghazali yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman, mereka sekeluarga berlepas dari Kuala Lumpur ke Terengganu kira-kira pukul 10.15 malam untuk mengundi di kem Batalion 9 PGA Kubang Badak di sini.

Katanya pada mulanya isteri beliau enggan mengikutnya pulang memandangkan anak-anak masih bersekolah, namun mengubah fikiran.

"Saya membuat surat cuti persekolahan anak-anak dan masa saya balik ke rumah lepas maghrib semalam anak dan isteri telah bersiap dan tidak sabar untuk pulang dan kami sekeluarga memulakan perjalanan kira-kira pukul 10 malam Isnin.

"Sebelum kejadian itu saya rasa amat mengantuk dan sempat tidur di tepi jalan di Lebuh Raya Pantai Timur dan meneruskan perjalanan memandang rumah keluarga saya di Kuala Berang sudah tidak jauh," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Ghazali redha dengan takdir yang menimpa keluarganya pada Selasa yang menurutnya mungkin ada hikmah yang besar di sebalik semua kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain