suria

PRU-13 Bukan Masa Memfitnah Tetapi Menjelaskan Polisi Parti - Wee

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) bukan masanya untuk memfitnah atau memburuk-burukkan peribadi seseorang, tetapi ruang bagi setiap parti mengetengahkan polisi parti untuk mentabir negara ke arah kemajuan.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata untuk itu, tempoh berkempen yang diberikan kepada parti yang bertanding perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan.

Rakyat juga perlu membuat perbandingan bijak dalam memastikan sama ada polisi Barisan Nasional (BN) atau parti pakatan pembangkang yang layak diberi sokongan menerajui kepimpinan di peringkat pusat dan negeri pada PRU13, katanya yang juga Ketua Pemuda MCA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan makmal Chrome pertama di Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Choong Wen di Jalan Klang Lama, di sini, Khamis.

Makmal Chrome itu dilengkapi dengan Chromebook Yes 4G yang merupakan kemudahan akses Internet bagi tujuan pendidikan untuk guru dan murid-murid di sekolah berkenaan.

Melalui makmal Chrome itu, proses pembelajaran boleh diadakan pada bila-bila masa dan tempat serta berupaya melangkau sempadan pendidikan melalui Internet berkelajuan tinggi 4G dan penggunaan peranti pengkomputeran awam.

Wee berkata: "Ini bukan masa untuk memfitnah atau melakukan 'character assassination' (memburuk-burukkan peribadi seseorang), kerana kalau ini yang dilakukan maka budaya politik kita tidak sihat." "Saya nampak ada macam-macam mereka (parti pakatan pembangkang) tabur fitnah, itu tidak baik. Kalau berani terus mencabar dan kalau nak kita boleh membahaskan apa yang kita (BN dan pembangkang) nak bawa untuk rakyat," katanya.

Beliau menasihatkan pihak yang gemar menyebarkan cerita 'bukan-bukan' agar berhenti berbuat demikian.

Wee yang mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor untuk penggal ketiga pada PRU13 ini, bakal berdepan calon PAS, Hu Pang Chaw. -BERNAMA

Artikel Lain