suria

Polis Jumpa Kanak-Kanak Setengah Jam Selepas Dilarikan

IPOH: Tindakan pantas polis telah berjaya menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun selepas setengah jam mangsa dibawa lari bersama kenderaan Toyota Vios milik ibu bapanya oleh tiga lelaki pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata mangsa ditemui ditinggalkan oleh suspek di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan dalam keadaan selamat bersama kenderaan tersebut.

"Dalam pukul 9.30 malam, ibu bapa mangsa meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta yang enjinnya dihidupkan bagi mengemas restoran milik mereka di Jalan Tasik, Gopeng.

"Sambil mengemas restoran, ibu mangsa meninjau-ninjau ke arah kereta dan kira-kira setengah jam kemudian, mangsa didapati hilang bersama kereta," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata ibu kanak-kanak itu yang panik kemudian bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian tersebut sebelum pasukan 'Cantas' yang ditubuhkan khas untuk pilihan raya, membuat rondaan dan menemui mangsa di R&R itu.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang dipercayai warga tempatan itu meninggalkan mangsa bersama kereta sebelum melarikan diri.

"Hasil daripada keterangan mangsa, kanak-kanak itu hanya boleh mengecam warna kulit tetapi tidak dapat mengenal pasti mangsa namun kita akan buru mereka.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Akta Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap media pilihan raya umum ke-13 kontinjen Perak Supt Maszely Minhad berkata polis menerima 17 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya dan telah membuka satu kertas siasatan semalam.

"Semalam, dua remaja lelaki berusia 15 tahun telah ditahan atas kesalahan mencabut sebatang bendera parti di Sungai Siput namun dibebaskan atas jaminan polis setelah rakaman percakapan diambil," katanya.

Maszely berkata sebanyak 121 ceramah telah dijalankan di seluruh Perak semalam di mana 14 dari jumlah itu didapati tidak mempunyai permit.

Beliau turut mengingatkan parti bertanding agar tidak mengupah pekerja asing untuk memasang bendera kerana ia melanggar syarat kemasukan pekerja asing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain