suria

Kes Penyakit Berjangkit Sebuah Pusat Perniagaan Tiada Kaitan H7N9- KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Beberapa kes penyakit berjangkit yang berlaku di kalangan pekerja sebuah pusat perniagaan di sini bulan lepas, berpunca daripada bakteria Legionella dan tiada kaitan dengan virus Influenza A H7N9 seperti didakwa mereka, menurut Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan siasatan awal Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur(JKWPKL), antara lain mendapati dua daripada kes itu adalah positif ujian penyakit saluran pernafasan itu yang berpunca daripada bakteria Legionella, terdapat di dalam air dan tersebar melalui udara.

"JKWPKL juga telah menjalankan pengesanan kes secara aktif untuk penyakit itu di salah satu blok bangunan itu," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Sehingga Isnin, beliau berkata seramai 1,158 pekerja pusat perniagaan berkenaan telah disaring dan seramai 281 didapati mengalami gejala saluran pernafasan ringan dan telah diberikan rawatan sewajarnya.

Katanya empat daripada mereka dimasukkan ke hospital, di mana tiga daripada mereka telah dibenarkan keluar, manakala seorang lagi meninggal dunia disebabkan severe bronchopneumonia with Adult Respiratory Distress Syndrome (ARDS) dan beberapa penyakit lain.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi menyiasat kemungkinan kejadian itu berpunca daripada sistem air yang panas pada bangunan seperti menara penyejukan, 'humidifier', dandang, air pancut tertutup dan lain-lain.

Namun begitu, beliau berkata penyakit itu masih dalam keadaan terkawal dan tidak merebak daripada seorang ke seorang yang lain.

"Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus memantau situasi ini dan mengambil langkah kawalan dan pencegahan," katanya.

Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala saluran pernafasan untuk segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan. -BERNAMA

Artikel Lain