suria

Uniform Wajah Baru ATM Akan Diperkenalkan - Zahid

Zahid Hamidi memakaikan pangkat kepada enam anggota Lain-lain Pangkat (LLP) 13 RAMD yang baru pulang dari Op Daulat di Sabah menerusi kaedah time-base.
Zahid Hamidi memakaikan pangkat kepada enam anggota Lain-lain Pangkat (LLP) 13 RAMD yang baru pulang dari Op Daulat di Sabah menerusi kaedah time-base.
Zahid Hamidi memakaikan pangkat kepada enam anggota Lain-lain Pangkat (LLP) 13 RAMD yang baru pulang dari Op Daulat di Sabah menerusi kaedah time-base.

SRI AMAN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sebelum ini mencadangkan uniform tentera sekarang ditukar kepada wajah baru bercorak digital.

Beliau berkata kementerian itu telah mengemukakan permohonan uniform baru berkenaan bagi menggantikan baju bercorak celoreng sedia ada untuk anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia.

"Wajah baru bagi uniform anggota tentera itu diperbuat daripada fabrik yang tidak panas dan antinyamuk selain merupakan penambahbaikan untuk operasi ketenteraan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara pemakaian pangkat kepada lima anggota Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit di sini Isnin.

Beliau berkata seramai 86,000 anggota dan pegawai ATM akan menikmati kenaikan pangkat secara automatik selepas lapan tahun perkhidmatan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Belanjawan 2013 tahun lepas.

Beliau turut memberi penghargaan dan kesyukuran kepada wira Lahad Datu, yang terlibat dalam Operasi Daulat di Sabah baru-baru ini.

Sementara itu di KUCHING, Ahmad Zahid menafikan dakwaan kononnya program yang dilaksanakan kerajaan untuk ATM selama ini adalah untuk memancing undi anggota pasukan keselamatan itu, sambil menyifatkan mereka yang membuat dakwaan itu sebenarnya yang ingin 'memancing undi'.

"Apa saja kita (kerajaan) lakukan bukan umpan undi...kita sudah laksanakan banyak program, bukan bila dekat pilihan raya (sahaja) tetapi sudah lama," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan anggota dan veteran ATM di Dewan Bukavu, Kem Penrissen, Batu 8, di sini, Isnin.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Panglima Briged Ketiga Infrantri Malaysia, Brig Jen Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut memakaikan pangkat kepada 12 Lans Korporal (L/Kpl) yang dinaikkan pangkat ke Korporal (Kpl) dan 43 prebet ke L/Kpl.

Beliau turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 veteran ATM dan menyampaikan sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) kepada 20 balu anggota ATM, dan sumbangan Rayuan Hari Pahlawan kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia Bahagian Sarawak dan Persatuan Veteran Sarawak Renjer.- BERNAMA

Artikel Lain