suria

BN Kedah Nafi Ada Kaitan Kain Rentang Provokasi, Mahu PAS Kemuka Bukti

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah pada Isnin menafikan BN mempunyai kaitan dengan kain rentang memaparkan logo parti dan pemimpin pakatan pembangkang yang dikatakan bersifat kontroversi dan mahu PAS yang membuat dakwaan itu mengemukakan bukti.

Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Ahmad Hanipah menegaskan PAS tidak boleh sesuka hati menuduh jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) sengaja memasang kain rentang itu tanpa mengemukakan sebarang bukti kukuh.

"PAS jangan buat tuduhan sembarangan jika tidak ada bukti kukuh kata orang BN terbabit. Kami tidak minat nak pasang baner (kain rentang) yang ada logo atau gambar pemimpin parti lain, kami sibuk pasang bendera sendiri sahaja," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya BN selama ini tidak pernah berminat melakukan perkara seumpama itu kerana menumpukan sepenuh perhatian terhadap perkara yang lebih serius seperti membantu rakyat.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kedah Zamri Ibrahim pada satu sidang media semalam, bahawa terdapat kain rentang dipasang jentera BN menggunakan logo parti dan gambar pemimpin pakatan pembangkang yang turut mengandungi kata-kata berunsur provokasi.

Ahmad Bashah berkata jentera pilihan raya BN tidak mempunyai masa untuk mencetuskan provokasi kerana mahu menggunakan tempoh berkempen sebaik mungkin untuk mendekati setiap lapisan masyarakat. -BERNAMA

Artikel Lain