suria

Tak Perlu Malu Minta Undi Kalau Pamer Calon 'Kelas Pertama' - Fatmi

KOTA BARU: Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dinasihatkan supaya tidak malu untuk meraih sokongan undi daripada rakyat sekiranya mereka mempamerkan diri sebagai calon 'kelas pertama'.

Calon BN-Parlimen Kota Baru, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, calon dalam golongan itu juga adalah mereka yang mementingkan, mendahulukan dan menyelesaikan masalah rakyat.

"Oleh itu, kalau kita minta orang untuk undi (maka) tidak perlu malu kerana kita telah pamerkan calon-calon yang 'first class' (kelas pertama).

"Kita (calon) nak beritahu rakyat, bukan suruh main-main untuk undi. Bukan suruh undi kerana kita nak naik gaji, (atau) masuk Barisan Nasional hendak jadi Exco, tetapi kerana kita ada visi, (dan) rancangan untuk orang Kota Baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan amanat pada himpunan rakyat di Kota Baru bersama Barisan Nasional (BN) di sini, Sabtu malam.

Turut hadir ialah tiga calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kota Baru iaitu Kanidy Omar (Tanjong Emas), Tan Ken Ten (Kota Lama) dan Mohd Fakhrurazi Abdul Rami (Bunut Payung).

Fatmi yang juga Pengerusi BN Kota Baru berkata, antara rancangan parti adalah membina rumah dan sekolah pondok moden, memberi peluang perniagaan, dan memastikan semua rakyat hidup selesa di Kota Baru.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar calon-calon supaya bekerja kuat bersunguh-sungguh tanpa rasa takut atau segan dalam meraih sokongan pengundi.

"Kita tidak perlu malu minta undi kerana kita minta undi yang mulia. Kita minta undi untuk murnikan Kota Baru.

"Kalau kita bekerja dengan keyakinan, keikhlasan (dan) kejujuran, Allah S.W.T akan memberi habungan kepada kita dan sudah tentu Allah akan memakbulkan nawaitu kita," katanya.

Artikel Lain