suria

PKR & DAP Bakal Bertembung di DUN Indera Kayangan ?

KANGAR: Adakah calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan bertembung sesama mereka di kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)Indera Kayangan.

Ini kerana PKR pada Khamis telah menamakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai, Chan Ming Kai, 33, untuk bertanding di DUN tersebut pada pilihan raya umum ke-13.

DAP sebelum ini turut menamakan calon mereka Wong Boon Beng, 48, iaitu Setiausaha DAP Perlis untuk bertanding di situ.

Pengerusi PKR Perlis, Mohd Faisol Abdul Rahman berkata PKR Pusat telah memutuskan untuk meletakkan calon mereka di DUN tersebut.

Dengan pengumuman itu, beliau berkata beliau tidak pasti sama ada DAP akan menarik balik pencalonan mereka. Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan ketika dihubungi berkata pihaknya akan menunggu pucuk pimpinan Pakatan Rakyat untuk membuat keputusan berhubung isu itu.

"Saya tidak boleh menyatakan apa-apa kecuali perkara itu diputuskan oleh pihak pusat," katanya yang juga calon DAP bagi DUN Titi Tinggi.

Calon Barisan Nasional bagi DUN Indera Kayangan ialah Pengerusi Perhubungan MCA Perlis, Dr Por Choo Chor.

Calon lain PKR yang diumumkan ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan Perlis, Amar Ghazali (DUN Mata Ayer), Wan Mohd Fishaal Wan Daud (Chuping), Noor Amin Ahmad (Kuala Perlis), Azhar Ameir (Tambun Tulang) dan Tuan Marja binti Tuan Mat (Sena). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain