suria

Pelaburan Ke Iskandar Malaysia Akan Terjejas Jika Pilih Pembangkang - Nur Jazlan

JOHOR BARU: Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Nur Jazlan Mohamed bimbang pelaburan berbilion ringgit yang diterima Iskandar Malaysia dan negeri Johor ketika ini berkemungkinan akan terhenti sekiranya pengundi melakukan kesilapan memilih parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.

"Pembangkang telah secara terang-terangan menolak dan mahu membatalkan projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi Johor, oleh itu pengundi perlu berfikir sebaik-baiknya tentang kesan besar undi mereka terhadap ekonomi Johor dan Iskandar Malaysia," katanya kepada Bernama dalam temu ramah pada Ahad.

Nur Jazlan, akauntan bertauliah dan anggota Parlimen Pulai sebelum Dewan Rakyat dibubarkan Rabu lepas, berkata jika pembangkang menolak pembangunan yang kerajaan laksanakan di Johor (dan Iskandar Malaysia), ia akan menjejaskan secara keseluruhannya usaha negara untuk mencapai Wawasan 2020.

Sejak dilancarkan akhir 2006, Iskandar Malaysia yang berkeluasan 2,217 km persegi meliputi beberapa daerah di selatan Johor, berjaya menarik sebanyak RM110 bilion pelaburan dari dalam dan luar negara.

Pada tahun lepas, kerajaan Barisan Nasional turut melancarkan projek Kompleks Petrokimia Bersepadu Pengerang (PIPC) serta projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID).

Kedua-dua projek itu, yang bakal menjadikan Malaysia sebagai hab industri minyak dan gas Asia, dijangka akan memulakan operasinya pada 2016.

Beberapa pelabur dalam dan luar negara telah pun menyatakan komitmen mereka untuk melabur berbilion ringgit di PIPC, manakala Petronas pula dijangka akan melabur RM60 billion dalam projek RAPID.

Bagaimanapun, pembangkang dalam manifesto PRU13 yang dilancar pada Februari lepas menyatakan bahawa mereka akan mengkaji semula kesesuaian projek RAPID terbabit.

Beberapa pemimpin pembangkang sebelum pelancaran manifesto itu juga mahukan projek RAPID itu dibatalkan atau saiznya dikecilkan atau ia dipindahkan ke kompleks petrokimia milik Petronas sedia ada di Kerteh.

Sementara itu Nur Jazlan berkata keyakinan pelabur Singapura yang kini mulai melabur secara aktif di Iskandar Malaysia dibimbangi akan turut terjejas jika pembangkang memenangi banyak kerusi di Johor.

"Pelabur Singapura mulai melabur secara aktif di Iskandar dan ia membuktikan mereka berkeyakinan Barisan Nasional akan menang dalam PRU13, tetapi undi kepada pembangkang boleh menjejaskan keyakinan mereka," katanya.

Jika pelabur Singapura itu tidak berkeyakinan BN akan memenangi PRU13, kata Nur Jazlan, mereka tidak akan melabur di Johor dan Iskandar Malaysia dan akan menunggu sehingga selepas pilihan raya umum sebelum membuat keputusan. BERNAMA

Artikel Lain