suria

LIMA 2013: Perjanjian RM4.27 Bilion Babitkan Kerajaan & Swasta - Dr Latiff

PORT DIKCSON: Kebanyakan perjanjian yang ditandatangani ketika Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) 2013 dengan nilai keseluruhan RM4.27 bilion itu adalah antara syarikat swasta.

Selain itu, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata senarai syarikat terbabit juga mungkin tidak boleh didedahkan kerana tertakluk kepada persetujuan tertutup bagi melindungi kepentingan syarikat berkenaan.

Dr Abdul Latiff berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas gesaan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar agar kerajaan mendedahkan syarikat dan agensi kerajaan yang terbabit dalam perjanjian tersebut.

Dalam gesaannya yang dilapor beberapa portal berita, Mahfuz juga berkata kerajaan sedia ada tidak boleh membuat keputusan yang membawa implikasi kewangan kepada kerajaan akan datang kerana mandat pemerintahan bagi penggal ini sudah hampir tamat.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Latiff berkata tindakan Mahfuz itu hanya untuk menimbulkan rasa waswas dalam kalangan rakyat selain memberi gambaran kerajaan sekarang menyalah guna kuasa kuasa, sekali gus mewujudkan rasa benci rakyat.

Dr Abdul Latiff turut menegaskan sebarang perjanjian yang melibatkan kerajaan Malaysia juga adalah tindakan sah kerana setiap perbelanjaan kerajaan telah diusul dan dilulus oleh Parlimen.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Tentera Port Dickson di Kem Sunggala di sini Selasa. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain