suria

Kastam Kelantan Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih RM700,000

KOTA BAHARU: Kastam Kelantan merampas pelbagai jenis rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM700,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah teres di Jalan Peru, Desa Telipot di sini, petang Isnin.

Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata dalam serbuan pukul 1.30 tengah hari itu, pihaknya telah merampas 7,177 karton rokok pelbagai jenama.

Walaupun tiada tangkapan dibuat kerana tiada penghuni dikesan semasa serbuan dilakukan, tetapi pihak bertanggungjawab telah dikenal pasti dan kita hanya menunggu masa sesuai untuk membuat tangkapan dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menyewa rumah di kawasan perumahan bagi menyimpan rokok seludup dan membuatkan rumah tersebut seolah-olah berpenghuni.

"Namun apabila diperiksa didapati rumah itu semata-mata digunakan untuk menyimpan rokok seludup di mana tiada perabot atau apa-apa peralatan lain di dalam rumah berkenaan," katanya.

Azis turut menasihatkan para pemilik rumah sewa supaya tidak sewenang-wenangnya memberi sewa kepada orang yang tidak dikenali. Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda minimum 10 kali ganda dan maksimum 20 kali ganda daripada nilai barang yang dirampas atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain