suria

AirAsia Menang Anugerah Syarikat Tambang Rendah Terbaik Asean LIMA 2013

KUALA LUMPUR: Syarikat tambang rendah, AirAsia Bhd, memenangi Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asean LIMA 2013 pada Anugerah Penerbangan Komersil Asean sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'13), yang sedang berlangsung di Langkawi.

AirAsia membawa pulang anugerah itu atas kejayaannya mencatat pertumbuhan perolehan dan keuntungan yang tinggi, serta jumlah purata penumpang mengikut kilometer, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil daripada tumpuan yang tidak berbelah bahagi dan disiplin dalam mengekalkan kos rendah serta menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik, serta tambang rendah.

"Usaha kami dalam meneruskan inovasi dan sinergi rangkaian jangka pendek dan jangka panjang memberikan kami kelebihan sebagai peneraju dalam segmen syarikat penerbangan tambang rendah dunia," katanya dalam satu kenyataan.

AirAsia berkata Anugerah Penerbangan Komersil Asean yang dianjurkan kali pertama sempena LIMA'13, bermatlamat memperakui dan memberi penghormatan kepada kejayaan besar keluarga penerbangan komersil Asean tahun lepas.

Anugerah itu juga bertujuan meningkatkan semangat kepimpinan dan inovasi yang merangsang kemajuan secara menyeluruh dalam industri penerbangan yang pesat membangun. AirAsia menerima anugerah itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi. - BERNAMA

Artikel Lain