suria

Sarawak Berusaha Dapatkan Kembali Rekod Perbicaraan Rosli Dhoby Dari UK

KUCHING: Dokumen mengenai perbicaraan Rosli Dhoby, seorang daripada wira pra-kemerdekaan Sarawak yang dikenakan hukuman mati oleh British, berada dalam pemilikan United Kingdom selama ini dan Sarawak berusaha untuk mendapatkannya kembali.

Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini berkata sepasukan penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dihantar ke sana untuk menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa muzium British untuk mendapatkan kembali dokumen terbabit selain artifak lain mengenai negeri ini.

"Saya berada di Oxford (University di UK) tahun lepas untuk memulakan momentum kerjasama," katanya kepada pemberita di sini selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara Kolej I-System Kuching dan Hilton Hotel di sini.

Abang Johari berkata berdasarkan maklumat yang dikumpulnya semasa lawatan itu, muzium dan perpustakaan British masih menyimpan banyak dokumen dan artifak mengenai sejarah Sarawak yang pada pendapat beliau perlu diperoleh kembali dan dibawa balik ke negeri ini.

"Bukanlah mudah untuk memperoleh dokumen bersejarah daripada muzium dan perpustakaan British. Justeru, kita perlu berganding bahu, bekerjasama dengan mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain