suria

Tiada Konspirasi Terhadap Sarawanan, Suresh - Saksi

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis memberitahu perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini bahawa tidak wujud sebarang konspirasi terhadap seorang mekanik dan pekerja ladang yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupus bahan bukti pembunuhan itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Abdul Aziz Zakaria berkata beliau juga tidak menawarkan peguam bernama Roslie Sulie untuk mewakili K.Sarawanan dan U.Suresh.

Roslie serta dua lagi peguam, M.Puravelan dan Mohd Naguib Abdul Malik, mewakili Sarawanan dan Suresh yang berdepan empat pertuduhan melupus bukti dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober 2010.

Sarawanan, 22, dan Suresh, 29, yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Udang, Melaka sebelum ini dipanggil sebagai saksi pendakwaan namun dikatakan telah berpaling tadah.

Ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili N.Pathmanabhan, Abdul Aziz berkata semasa Roslie dan Mohd Naguib datang bertemu beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2010, mereka tidak membincangkan kes itu.

"Dalam afidavit kamu yang diikrarkan pada 6 Jan 2011, semasa perjumpaan itu, Roslie ada tanyakan kes yang menarik perhatian umum iaitu kes Sosilawati, dan kamu beritahu (Roslie) Sarawanan dan Suresh tiada peguam. Adakah itu tugas kamu untuk bincang kes yang belum dituduh di mahkamah dengan peguam," soal Manjeet Singh.

"Tugas saya ialah sebagai penasihat undang-undang," jawab Abdul Aziz.

"Sudahkah keputusan diambil untuk dakwa ketika itu," soal Manjeet Singh dan saksi itu menjawab tidak.

"Kalau belum dakwa, jadi belum ada keperluan untuk bincang tentang melantik peguam," soal Manjeet Singh.

"Tidak setuju," jawab Abdul Aziz.

"Kamu cakap Sarawanan dan Suresh tiada peguam yang wakili mereka, mana kamu tahu," soal Manjeet Singh.

"Saya jumpa mereka di tempat soal siasat pada 9 dan 10 Oktober 2010," jawab Abdul Aziz.

"Bila pertama kali Suresh dan Sarawanan jumpa Roslie," soal Manjeet Singh.

"Pada 10 Oktober 2010 dalam tengah hari," jawab Abdul Aziz.

Tindakan saksi itu yang menjawab soalan dalam keadaan berpeluk tubuh menyebabkan Manjeet Singh menyifatkan beliau sebagai seorang pegawai polis yang agresif.

"Bila kamu nak diserahkan sepina anda cakap 'mampuslah'. Ada kamu cakap begitu," soal Manjeet.

"Saya tidak pernah cakap sedemikian. Sepina itu diterima oleh pembantu peribadi saya," jawab saksi itu.

Saksi ke-18 pembelaan, pekerja penghantaran firma guaman Hakem Arabi & Associates, S.Baskaran dalam keterangannya sebelum ini berkata beliau ke IPK Kuala Lumpur bagi menyerahkan sepina kepada Abdul Aziz namun pegawai polis itu enggan menerimanya dan mengeluarkan perkataan "pergi mampus".

Kepada soalan lain, Abdul Aziz berkata pada pertemuan Roslie dan Sarawanan serta Suresh pada 10 Oktober 2010, anggota polis berpangkat detektif koperal Sri Hari Ramachandran bertindak sebagai jurubahasa.

Bagaimanapun, Sri Hari dalam keterangannya menafikan menjadi jurubahasa kepada Roslie serta dua tertuduh terbabit (ketika itu suspek) dan mendakwa beliau berada di luar bilik sepanjang perjumpaan yang berlangsung kira-kira sejam.

Sri Hari turut tidak bersetuju dengan cadangan Manjeet Singh bahawa beliau ada memaksa Sarawanan mengaku bersalah dan bersetuju dengan pelantikan Roslie sebagai peguamnya.

Bapa Sarawanan, N.Kandasamy dalam keterangannya sebelum ini mendakwa ditipu oleh Roslie yang memberi jaminan akan membebaskan Sarawanan jika beliau dilantik sebagai peguam anaknya, dan saksi ke-15 pembelaan itu juga mendakwa peguam berkenaan telah memaksa anaknya mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Pathmanabhan, 43, bekas peguam dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada Khamis. BERNAMA

Artikel Lain