suria

Suspek Lelaki Ditembak, Polis Selamatkan Mangsa Culik

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelamatkan seorang jurutera warga Jepun yang diculik sekumpulan warga asing bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah US$50,000 (RM156,000) sejak Selasa, dalam satu operasi di Kajang, Selangor.

Dalam operasi pukul 9 malam itu, polis memberkas tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita Filipina berumur lingkungan 30an di dua buah unit kondominium.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata seorang suspek lelaki ditembak dan mengalami kecederaan di kaki kanan selepas cuba menyerang anggota polis.

Hasil serbuan itu, mangsa berumur 41 tahun itu turut diselamatkan, katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ku berkata jurutera itu datang ke Malaysia pada Selasa lepas kononnya untuk berjumpa dengan seorang suspek wanita yang dikenali melalui 'Skype' untuk berkahwin.

"Selepas menculik mangsa, kumpulan itu telah meminta keluarganya di Jepun memasukkan wang tebusan US$50,000 ke satu akaun bank di Filipina," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman 14 hari di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961.

Artikel Lain