suria

Wanita Disaran Jangan Ambil Mudah Masalah Kemurungan - Pakar Psikiatri

KUALA LUMPUR: Kaum wanita dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah masalah kemurungan kerana ia boleh memudaratkan diri jika dibiarkan tanpa mendapatkan rawatan, menurut seorang pakar psikiatri.

Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, berkata masalah kemurungan boleh dirawat namun ramai wanita di negara ini enggan atau keberatan untuk mendapatkan rawatan.

Golongan wanita perlu mengikis rasa malu untuk berjumpa pakar psikiatri kerana mereka takut dipandang rendah oleh masyarakat atau bimbang akan dipulaukan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Kesihatan Mental Wanita' sempena Hari Wanita Sedunia di hospital berkenaan di sini, Sabtu.

Dr Nor Hamidah berkata berdasarkan statistik terkini Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 41.9 peratus wanita mengalami masalah kemurungan berbanding lelaki iaitu 29.3 peratus.

Menurutnya masalah kemurungan bukan setakat rasa sedih malah ia boleh melarat kepada simpton lain seperti perasaan pesimistik dan mudah putus asa, hilang minat terhadap kerja, rasa 'lebih baik mati', dengar suara berbisik dan akhirnya mengundang perkara tidak diingini seperti mencederakan diri sendiri dan orang lain.

Dr Nor Hamidah berkata tiga tahap kemurungan iaitu rendah, sederhana dan serius yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk perubahan hormon, perubahan hidup, masalah rumah tangga dan masalah tempat kerja.

"Bagi tahap permulaan, pesakit boleh mengikuti sesi kaunseling tetapi bagi kes sederhana dan serius, mereka perlu mengambil ubat untuk tempoh tertentu bergantung kepada tahap kepulihan pesakit," katanya.

Sebagai langkah mengatasi masalah kemurungan, beliau berkata wanita boleh mengamalkan cara hidup sihat seperti melakukan aktiviti riadah, mendekatkan diri dengan Tuhan, mempunyai ikatan yang baik antara keluarga dan rakan-rakan.

Ceramah berkenaan dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Wanita Hospital Gleneagles dikenali sebagai 'Women to Women Well-being Tea Talk', yang dilancarkan Mac tahun lepas.

Badan itu merupakan platform untuk kaum wanita mendapatkan sokongan emosi dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan mengenai isu-isu berkaitan kesihatan secara santai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain