suria

Bahasa Siam Akan Diperkenal Semula Di Sekolah Terpilih

KUALA NERANG: Kementerian Pelajaran akan melaksanakan semula pengajaran Bahasa Siam di sekolah-sekolah terpilih bagi memastikan masyarakat Siam di negara ini terus menguasai bahasa ibunda mereka dengan baik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau akan mengarahkan pegawainya mewujudkan semula pengajaran bahasa itu dan menentukan bentuk kurikulum yang bersesuaian untuk subjek itu.

"Saya sokong supaya Bahasa Siam dapat diperkenalkan semula supaya anak-anak bangsa Siam tidak melupakan bahasa ibunda mereka," katanya ketika berucap pada Program Karnival Sawaddee Timbalan Perdana Menteri Bersama Bumiputera Siam di Wat Tepchumnum di Naka, dekat sini, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pengajaran subjek itu hanya menumpukan kepada sekolah di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk berbangsa Siam yang tinggi seperti di Kedah, Perlis dan Kelantan.

Katanya pihak kementerian akan mengenalpasti jumlah bilangan pelajar berbangsa Siam di sekolah terpilih dan menyediakan guru-guru pakar bahasa Siam yang mencukupi bagi memastikan proses pengajaran berjalan lancar.

Muhyiddin berkata masyarakat Siam tidak pernah terkecuali dan sentiasa terlibat dalam perancangan pembangunan arus perdana.

"Masyarakat Siam adalah bumiputera sejati dan berhak dapat bantuan sama macam masyarakat lain dan saya bangga masyarakat Siam yang saya temui terlibat dalam usaha majukan masyarakat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Negara mewakili masyarakat Siam Datuk Boon Som Inong berkata subjek Bahasa Siam pernah diajar di Sekolah Kebangsaan Naka dekat sini pada 1956 hingga 1980-an.

"Pada masa itu hanya ada lima guru mengajar Bahasa Siam dan apabila mereka bersara, tidak ada guru lagi dilantik menyambung tugas berkenaan," katanya.

Boon Som berkata pada masa ini terdapat 66 sekolah Bahasa Siam di seluruh negara dan 31 daripadanya terdapat di Kedah dan Perlis.

Terdahulu, Muhyiddin turut mengumumkan kelulusan sebanyak RM1.2 juta iaitu untuk 31 sekolah Bahasa Siam di Kedah dan Perlis (RM620,000), persatuan dan kelab Siam seluruh negara (RM130,000), membina gelanggang futsal di Kampung Baru Naka (RM200,000), baik pulih Wat Siam Titi Akar di Pendang (RM50,000) dan selebihnya membiayai projek-projek kecil untuk masyarakat Siam seluruh Kedah. BERNAMA

Artikel Lain