suria

IWH Dan JCorp Bersama Bina 8,300 Rumah Mampu Milik Bawah PR1MA

JOHOR BAHARU: Johor Corporation (JCorp) dan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) akan bersama-sama membina 8,300 unit rumah mampu milik di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Bagi 8,300 rumah baharu itu, yang pembinaannya akan bermula akhir tahun ini dan siap akhir 2015, akan ditawarkan kepada pemohon yang layak di sembilan lokasi dalam daerah Johor Bahru.

Pengarah Urusan IWH Tan Sri Lim Kang Hoo berkata unit berkenaan melibatkan pangsapuri, townhouses atau rumah setingkat berkembar adalah bagi memenuhi belanjawan individu dan keperluan keluarga.

"Lokasi projek-projek berkenaan di kawasan sub bandar dipilih secara teliti untuk mudah diakses ke bandar di sini dan menyediakan kumpulan pekerja kepada industri berdekatan dan sektor perkhidmatan, " katanya dalam satu kenyataan.

Rumah-rumah berkenaan akan dibina di lokasi utama dengan penyambungan jalan dan kemudahan awam yang baik, katanya.

Pelbagai perkhidmatan seperti dewan orang ramai, taman permainan, tadika, masjid dan klinik juga akan disediakan.

IWH melaksanakan pembangunan rumah PR1MA sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosialnya.

"Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kami akan terus menyediakan tanah dan sumber bagi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa," katanya.

IWH, yang merupakan pemaju induk tanah utama tepi air di sini, adalah pemilik tanah dan pemaju tiga projek di Danga Bay, Plentong dan Masai yang menawarkan sebanyak 5,000 unit.

Enam lagi projek tambahan dengan 3,300 rumah akan juga dibina oleh IWH mengikut usaha sama dengan JCorp di Tebrau, Ulu Tiram, Kempas, Larkin dan Pasir Gudang.

PR1MA akan menguruskan undian kesemua 8,300 unit, berharga kira-kira 20 peratus di bawah harga pasaran, apabila siap kelak.

Sebanyak 8,300 rumah mampu milik tambahan itu di bawah PR1MA merupakan sebahagian 25,000 rumah serupa yang dirancang untuk dibina oleh beberapa pemaju dalam Iskandar Malaysia sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kulaijaya semalam. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain