suria

Polis Tahan Dua Lelaki Terlibat Kes Tetak Di Pusat Hiburan

IPOH: Polis melepaskan empat das tembakan ke arah dua lelaki bermotosikal yang cuba melibas anggota keselamatan itu dengan parang selepas kedua-dua suspek dipercayai menetak dua lelaki lain di sebuah pusat hiburan di Taman Sejati, Sitiawan dekat sini pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Perak SAC Datuk A. Paramasivam berkata akibat cubaan melibas itu kedua-dua suspek berumur 29 dan 27 tahun masing-masing cedera di bahagian kaki dan punggung manakala anggotanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sebelum itu polis menerima laporan daripada pengadu yang melihat kejadian tetak itu melalui kamera litar tertutup ketika berada di bahagian kaunter pusat hiburan berkenaan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pengadu melihat tiga lelaki mengekori seorang lelaki lain memasuki pusat hiburan itu dan menetak mangsa di bahagian kepala menggunakan sebilah parang.

Pengadu kemudian berlari keluar dan melihat pula kesemua suspek menetak seorang lagi lelaki di luar pusat hiburan itu menggunakan senjata yang sama, katanya.

Katanya kedua-dua mangsa berumur 54 dan 30 tahun cedera di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

"Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berasal dari Klang, Selangor dan seorang daripadanya mempunyai satu rekod lampau bersabit kes Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Kejadian tetak itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan polis kini mengesan seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain