suria

Naik Motosikal Bertiga, Seorang Maut Dua Cedera Parah

KUANTAN: Tiga orang rakan yang menaiki sebuah motosikal menerima padah apabila seorang daripadanya maut manakala dua lagi cedera parah apabila motosikal mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di Km7, Jalan Pekan-Nenasi berdekatan Pekan petang Isnin.

Dalam kejadian pukul 7.45 petang itu, mangsa Aziz Low Kim Swee, 40, dari Kampung Permatang Keledang, Pekan mengalami pendarahan teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pekan kira-kira pukul 8.15 malam Isnin.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, salah seorang pembonceng, Masrol Hakim They Keok Lee, 20, patah kakinya manakala seorang lagi Manan Jendut, 37, patah tulang rusuk.

Kedua-duanya menerima rawatan di hospital yang sama.

Mohamed Fauzi berkata ketiga-tiga mangsa keturunan Orang Asli itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari Sungai Miang ke Kampung Permatang Keledang.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh tajam lalu terbabas dan terlanggar tiang elektrik yang tumbang di tepi jalan sebelum merempuh tembok pagar berhampiran," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata pengguna perlu sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan perbuatan membawa pembonceng berlebihan merupakan tindakan merbahaya dan berisiko tinggi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain